Monthly Archives: August 2015

7 Alasan Untuk Tidak Menyimpan

Antara masalah utama dalam pengurusan kewangan ialah tidak mampu menyimpan. Alasan yang paling sering diberikan ialah ‘belum cukup bulan pun gaji dah habis, macam mana nak menyimpan?’

Ini merupakan 7 alasan paling popular untuk tidak menyimpan:

Kekerapan hasil dan belanja

Gambar dari Google search

Gambar dari Google search

Pendapatan kita selalunya diperolehi sebulan sekali, namun kita berbelanja setiap hari. Ini menyebabkan kita tidak sedar bahawa perbelanjaan harian kita telah melebihi dari pendapatan kita. Ini yang menyebabkan belum sampai hujung bulan, poket dah kering.

Perbelanjaan harian kita pasti lebih mudah untuk di kawal, apabila kita mengetahui had perbelanjaan harian. Dengan mempunyai senarai perbelanjaan bulanan, tugas memantau perbelanjaan harian menjadi lebih mudah.

Belanja tetap yang tinggi

Apabila mendengar ‘belanja tetap’, kita sering terfikir mengenai ansuran bulanan serta bil-bil bulanan. Kita sering terlepas pandang bahawa kita sebenarnya juga mempunyai perbelanjaan tetap secara harian dan juga tahunan.

Perbelanjaan harian dan tahunan ini selalunya tidak diperuntukan di dalam bajet perbelanjaan kita. Antara perbelanjaan tetap harian yang perlu kita pertimbangkan ialah tambang pengangkutan, tempat letak kereta, tol, sarapan dan makan tengah hari. Peruntukan perbelanjaan tahunan yang diperlukan ialah perbelanjaan hari perayaan, cukai jalan, insuran kenderaan, cukai harta dan cukai pintu.

Gaya hidup yang mewah

Memang kelihatan segak apabila kita memakai pakaian berjenama. Tempat membeli baju pun hanya di Pavilion. Sedangkan untuk kelihatan kemas dan segak, tidak dimestikan memakai pakaian berjenama. Keinginan kita juga perlulah seiring dengan pendapatan kita. Tidak perlulah sampai ke tahap ‘biar papa, asal bergaya’.

Perbelanjaan tidak dirancang

Perbelanjaan tidak dirancang biasanya terjadi apabila kita pergi membeli barangan keperluan. Kita mungkin pergi ke pasaraya untuk membeli 5 jenis barangan. Tetapi apabila pulang, 5 jenis barang sudah menjadi 10 jenis barang.

Mudahnya dan seronok berbelanja

Gamabr dari Google Search

Gamabr dari Google Search

Berbelanja memang menyeronokan. Sehingga saya pernah mendengar bahawa ‘shopping’ adalah terapi. Lebih-lebih lagi apabila melihat sesuatu yang cantik dan ada pula jualan yang kononnya murah.

Lebih teruk lagi apabila kita berbelanja mengunakan kad, tidak kiralah kad kredit mahupun kad debit. Ini kerana kita tidak melihat wang keluar mahupun baki wang yang kita ada.

Perbelanjaan kecil

Perbelanjaan kecil ini adalah sesuatu yang kita rasakan kecil harganya tetapi jika kerap berlaku boleh memberi impak dalam jumlah perbelanjaan. Contohnya ialah pembelian barangan berhampiran kaunter seperti coklat atau gula-gula. Ini termasuk juga, membeli majalah ketika menunggu seseorang untuk temujanji, sedangkan ia tidak perlu.

Tiada kawalan perbelanjaan

Ramai orang mengetahui senarai perbelanjaan tetap bulanan mereka. Namun tidak ramai yang mempunyai senarai perbelanjaan bulanan yang tidak tetap. Senarai barang dapur yang diperlukan tidak dibuat. Ini menyebabkan perbelanjan dibuat tanpa kawalan. Perbelanjaan dilakukan dengan ‘rasa-rasa perlu’.

Nak simpan atau tidak?

Jika mahu memberi alasan memang banyak boleh diberi. Ini hanya alasan yang sering saya sendiri gunakan dulu. Anda bagaimana?

Please follow and like us: