Kewangan: Asas Paling Asas

Untuk membina bangunan yang kukuh, kita perlukan asas yang kukuh. Begitu juga dengan pembentukan karektor insan yang hebat perlulah dengan asas nilai diri yang kukuh juga. Tidak terkecuali dalam pembinaan sistem kewangan yang kukuh juga memerlukan asas yang kukuh.

Seseorang dengan pendapatan yang tinggi melalui pelbagai sumber pendapatan pasti akan hidup susah dan kesempitan wang jika tidak mempunyai asas kewangan yang kukuh. Wang memang merupakan perkara pertama yang perlu kita ada. Tetapi tanpa asas, individu yang menjana pendapatan beribu ringgit pun, pasti akan merasa kekurangan wang, dan pendapatan yang ada sentiasa tidak mencukupi.

Periuk

Periuk

Ini telah digambarkan oleh nenek moyang kita lama dahulu:

‘Besar periuk, besarlah keraknya’

Sering kita dengar seseorang itu mengadu sering kekurangan wang, lebih-lebih lagi apabila sampai ketika hujung bulan. Dan sering juga kita dengar mereka mengadu dan mengeluh, “Kalaulah gaji aku besar.” Namun setelah beberapa tahun kita berlalu, keluhan yang sama, masih kita dengar. Ini berlaku kepada ramai orang termasuklah saya suatu ketika dahulu.

Asas Paling Asas

Ini kerana satu asas kewangan paling penting yang sering dilupakan. Asas ini boleh dikatakan asas paling asas dalam mencapai status bebas kewangan. Jika tidak dapat mencapai status bebas kewangan pun, dengan asas ini, tiada lagi keadaan kita perlu meminta-minta dalam waktu-waktu kecemasan.

Kewangan

Kewangan

Asas yang penting ini adalah perbelanjaan perlulah kurang daripada pendapatan. Selagi asas ini diingati dan sentiasa dikawal, masalah besar dapat dihindari. Namun, masih ramai yang tidak dapat mengikuti prinsip asas ini.

Memang Sukar

Terdapat beberapa keadaan yang menyukarkan kita untuk mengawal perbelanjaan supaya tidak melebihi pendapatan. Namun sebenarnya, keadaan-keadaan ini ada cara penyelesaiannya.

Berbelanja

Confession of a Shopaholic

Antara keadaan yang biasa ialah:

  1. Kekerapan hasil dan belanja – Pendapatan selalunya diperolehi sebulan sekali, tetapi perbelanjaan dibuat setiap hari. Jadi kita tidak sedar apabila perbelanjaan yang dikeluarkan sebenarnya telah melebihi dari pendapatan kita. Cuba bayangkan kita mendapat pendapatan secara harian, maka pengeluaran wang secara harian pasti lebih mudah kita kawal. Oleh itu, adalah penting untuk kita mempunyai senarai perbelanjaan bulanan supaya mudah untuk kita menilai kedudukan pendapatan kita.
  2. Belanja tetap yang tinggi – Kita selalunya mempunyai perbelanjaan tetap secara bulanan mahupun harian. Perbelanjaan ini pula selalunya mempunyai peratusan yang paling tinggi daripada jumlah pendapatan kita. Contoh perbelanjaan tetap bulanan ialah ansuran rumah dan kereta. Contoh perbelanjaan tetap harian ialah tambang pengangkutan, parking kereta dan makanan.
  3. Gaya hidup yang mewah – Kebanyakan dari kita mempunyai gaya hidup yang tidak sepadan dengan pendapatan kita. Gaya pemakaian kita sendiri ada yang melebihi dari pendapatan. Keinginan kita juga perlulah seiring dengan pendapatan kita. Tidak perlulah sampai ke tahap ‘biar papa, asal bergaya’.
  4. Belanja tidak perlu – Contoh perbelanjaan tidak perlu adalah seperti ketika kita pergi pasaraya. Apabila pulang ke rumah, banyak barang yang tidak anda perlu telah dibeli.
  5. Mudahnya dan seronok berbelanja – Berbelanja memang menyeronokan. Sehingga saya pernah mendengar bahawa ‘shopping’ adalah terapi. Lebih-lebih lagi apabila melihat sesuatu yang cantik dan ada pula jualan yang kononnya murah. Lebih teruk lagi apabila berbelanja mengunakan kad, tidak kiralah kad kredit mahupun kad debit. (Akan kita bincangkan di dalam entri yang lain)
  6. Perbelanjaan kecil – Perbelanjaan kecil ini adalah sesuatu yang kita rasakan kecil harganya tetapi jika kerap berlaku boleh memberi impak dalam jumlah perbelanjaan. Contohnya ialah pembelian barangan berhampiran kaunter seperti coklat atau gula-gula. Ini termasuk juga, membeli majalah ketika menunggu seseorang untuk temujanji, sedangkan ia tidak perlu.
  7. Tiada kawalan perbelanjaan – Ramai orang tidak mempunyai senarai perbelanjaan bulanan mereka. Apa lagi dengan perbelanjaan harian. Ini termasuk juga saya suatu ketika dahulu. Tanpa senarai perbelanjaan atau setidak-tidaknya had perbelanjaan harian, sukar untuk mengawal perbelanjaan.

Jimat Demi Masa Depan

Kerak Nasi

Kerak Nasi

Kita perlu mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu pada masa kini demi untuk keselesaan masa depan. Ini merupakan langkah pertama kita untuk mencapai status bebas kewangan. Pemahaman yang jelas mengenai cara perbelanjaan kita sangat penting. Dengan pemahaman ini kita akan dapat menentukan langkah seterusnya untuk mencapai status bebas kewangan. Semoga kita boleh menambah pepatah ‘besar periuk, namun kecil keraknya’ dalam kamus bahasa kita.

Please follow and like us:
Please follow and like us:

One thought on “Kewangan: Asas Paling Asas

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>