Khas: Rasulullah Dan Perniagaan

Selamat menyambut Maulidur Rasul. Dimana kita menyambut kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Apabila tiba Maulidur Rasul, pasti kita akan diingatkan dengan etika dan cara Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi sunnah. Di sini saya cuma ingin menyentuh satu bahagian dalam kehidupan Rasulullah iaitu perniagaan.

Perniagaan dan Islam

Ramai telah mengetahui mencari rezeki melalui perniagaan dipandang tinggi dalam Islam. Ini dikukuhkan lagi melalui hadis Nabi Muhammad S.A.W.:

“Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan”.

(Hadis riwayat Tirmizi) (Hadis ini mursal mengikut Al Iraaqi).

Nabi Muhammad S.A.W. sendiri merupakan seorang ahli perniagaan semasa mudanya. Seawal 12 tahun, beliau telah mula membantu bapa saudaranya, Abu Talib berniaga ke Syam. Beliau juga mendapat kepercayaan Saidatina Khadijah Binti Huwailid untuk menguruskan barang dagangannya.

Para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. juga ramai merupakan ahli perniagaan. Sahabat beliau yang berjaya dalam perniagaan dan paling banyak menginfakkan harta untuk Islam ialah Abdul Rahman Bin A’uf.

Sifat Nabi dalam Perniagaan

  • Al-Amin / Orang yang dipercayai – Kerana peribadi beliau yang baik dan tidak pernah berbohong, beliau mudah mendapat kepercayaan. Apabila diusulkan nama beliau kepada Saidatina Khajidah untuk menguruskan perniagaannya, cadangan itu disambut serta merta.
  • Jujur dan Amanah – Beliau sangat amanah dalam menguruskan barang dagangan milik Saidatina Khadijah sehingga beliau dapat menghasilkan keuntungan. Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

“Peniaga yang benar lagi amanah bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar (siddiqqin) serta para syuhada’.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

”Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak untuk memilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama kedua-duanya belum berpisah. Jika keduanya berlaku jujur dan berterus terang menjelaskan (keadaan barang yang dijual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (kecacatan masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka.”

(Hadis riwayat Muslim) 

  • Menderma – Beliau suka menderma dan berbuat kebajikan sehingga membuatkan pelanggan senang berurusan dengan beliau.
  • Melebihkan timbangan – Beliau tidak pernah menipu timbangan dalam perniagaan, malahan beliau melebihkan timbangan.
  • Tidak mengamalkan riba – Beliau juga menolak riba kerana ia bersifat menindas.

Larangan Dalam Perniagaan

Terdapat beberapa hadis Nabi Muhammad S.A.W. berkaitan larangan di dalam perniagaan, antaranya:

“Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berdosa melainkan bagi orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar.”

(Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

“Sesungguhnya para peniaga itu adalah orang-orang yang berdosa, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli?” Jawab Baginda: “Ya” (Tentu), akan tetapi apabila mereka bersumpah, mereka membuat dosa, dan apabila berkata-kata mereka berbohong.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Berniaga Cara Rasulullah

Di samping mengingati Rasulullah S.A.W. ketika sambutan Maulidur Rasul, kita juga pasti mahu mengingati sepanjang waktu. Baik di dalam urusan ibadah, kehidupan bekeluarga mahupun peribadi beliau dalam menjadi pemimpin agung. Tidak terkecuali juga dalam usaha mencari rezeki terutama dalam perniagaan.

Please follow and like us:
Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>