Tag Archives: Azam

Azam? Sama macam tahun lepas

Selamat tahun baru 2013 kepada semua. Menjadi kebiasaan pada tahun baru, perkara paling banyak diperkatakan ialah ‘Azam’. Seperti biasa juga, bukan En. Azam yang sedang kita perkatakan di sini.

Mengapa Berazam?

Tujuan utama berazam adalah untuk menentukan arah tuju, matlamat dan juga garis panduan untuk tahun kalendar yang baru. Azam juga diadakan saban tahun kerana naluri kebanyakan manusia itu sendiri yang sering bosan dengan rutin harian yang sama saban hari. Azam juga menunjukkan keinginan manusia yang mahukan perubahan dan peningkatan dalam kehidupan. Azam tahun baru juga boleh jadi keinginan membuang sifat yang tidak diingini.

Kategori Azam

Kategori azam yang menjadi kebiasaan dan selalu kita dengar ialah:

  1. Azam yang sama saban tahun tapi tiada langkah atau tindakan yang diambil. Kalau ada tindakan yang diambil pun tidak tahan lama. Contoh paling biasa ialah saya nak berhenti merokok tahun ini.
  2. Azam yang baru setelah azam lama dicapai. Azam yang dibuat disertai dengan perancangan dan tindakan untuk mencapainya. Contoh azam ini ialah ingin membeli kereta baru tahun ini setelah berjaya mencapai azam tahun lepas untuk memiliki rumah baru.
  3. Azam yang baru setelah azam lama tidak dapat dicapai. Azam baru ini mungkin berkaitan atau tidak berkaitan dengan azam yang lama. Berkemungkinan azam lama tidak dapat dicapai setelah berusaha bersungguh-sungguh namun mungkin juga kerana tiada usaha dilakukan.
  4. Tiada azam dibuat. Biasanya mereka ini sudah selesa dengan kehidupan semasa jadi tiada kemahuan untuk berubah atau untuk mencapai apa-apa lagi.

Sebab-sebab azam tidak dapat dicapai?

Terdapat banyak sebab azam tidak dapat dicapai. Saya sendiri pernah mengalami keadaan tidak dapat mencapai azam. Sebahagian azam ini sememangnya mempunyai sebab yang kukuh mengapa ia tidak dapat dicapai. Tetapi sebahagian besar matlamat yang tidak dapat dicapai kerana sebab-sebab yang berikut:

  1. Matlamat atau azam yang tidak jelas.
  2. Tiada keinginan yang kuat untuk mencapainya.
  3. Tiada pelan tindakan untuk mencapainya.

Kaedah menulis atau membentuk azam

Ini merupakan kaedah yang saya gunakan mulai tahun ini. Ini merupakan kaedah-kaedah yang ditambah baik setelah saya aplikasikan semenjak di universiti hingga tahun lepas.

Mulai merangka azam kita dengan tiga jenis tempoh yang berlainan iaitu:

  1. Jangka panjang. Iaitu azam yang ingin dicapai dalam tempoh 10 tahun atau lebih.
  2. Jangka sederhana. Iaitu azam yang ingin dicapai dalam tempoh 5 tahun.
  3. Jangka pendek. Iaitu azam yang ingin dicapai dalam tempoh setahun atau kurang.

Perlu saya tekankan supaya azam-azam perlulah saling berkaitan. Azam jangka panjang adalah legasi yang ingin kita tinggalkan. Jadi azam jangka sederhana adalah apa yang perlu kita miliki untuk mencapai azam jangka panjang kita. Oleh itu, azam jangka sederhana adalah apa yang perlu kita capai dalam masa terdekat dalam usaha untuk mencapai azam jangka sederhana kita.

Kemudian azam yang telah ditulis ini perlulah SMART iaitu Spesifik bermaksud jelas; ‘Measureable’ bermaksud boleh diukur; ‘Attainable’ bermaksud mencabar tetapi realistik; Relevan dengan setiap objektif; ‘Time-bound’ bermaksud mempunyai jangka untuk dicapai. Ini perlu supaya kita merasa lebih yakin dan percaya dengan azam kita sendiri.

Kita juga perlu sertakan faktor keseronokan dan kepedihan/kesakitan (pain & pleasure). Perlunya faktor keseronokan ini supaya kita dapat merasakan kelebihan untuk kita apabila kita berusaha ke arah azam itu. Faktor kepedihan pula akan menjadi pendorong supaya kita berusaha untuk mengelak daripada tidak mencapai azam kita.

Bagaimana untuk mengukuhkan Azam

Cabaran terhebat selepas menulis azam adalah memastikan azam itu sentiasa kuat di hati kita sepanjang tahun. Dengan itu barulah kita bersemangat tinggi dalam menghadapi cabaran-cabaran dalam usaha mencapai azam kita. Ada beberapa kaedah, diantaranya ialah:

  1. Tulis – Dengan menulis azam kita dengan jelas mengikut kaedah di atas maka kita akan lebih fokus dalam usaha mencapai azam tersebut. Setelah itu letakkan azam kita itu di tempat di mana kita akan selalu terlihatkannya dan juga di tempat yang sentiasa dekat dengan kita seperti di dompet atau beg tangan.
  2. Gambar & Tampal – Lukis atau dapatkan gambaran mengenai azam anda itu. Ini memudahkan kita dalam mengingati azam kita. Letak gambaran tadi di dalam bilik di mana kita akan melihatnya setiap hari sebelum dan selepas tidur.
  3. Selalu Baca/Ingat – Selalu mengulang baca dan mengingatinya. Cuba ulangi setiap pagi dan sebelum tidur.
  4. Akauntabiliti – Ambil akauntabiliti. Beritahu rakan-rakan kita yang positif mengenai azam kita dan minta mereka doakan kita dan sentiasa ingatkan kita dalam usaha mencapainya.
  5. Bayangkan kejayaan selepas 10 tahun dan undur ke masa sekarang – Ini merupakan teknik garis masa (time-lines). Cuba duduk dengan tenang dan bernafas dengan perlahan. Tarik nafas melalui hidung dengan pantas dan lepaskan nafas melalui mulut dengan perlahan. Kemudian bayangkan kita berada 10 tahun dari sekarang dalam keadaan telah berjaya mencapai azam jangka panjang kita, hayati keadaan tersebut, bayangkan segala butiran sekeliling, dengar segala bunyi yang ada, gambarkan perasaan dan emosi di waktu itu. Ambil masa anda dan kemudian cuba rasanya masa berputar sehingga kita berada di penghujung tahun 2013. Gambarkan kita telah berjaya mencapai azam baru kita. Ambil masa untuk menghayatinya sebelum kita membuka mata. Setelah buka mata segera tuliskan apa yang kita bayangkan tadi.

Akhirnya selepas berazam perlulah bertindak untuk mencapainya. Semoga kita dapat mencapai azam tahun baru kita.

p/s: Azam utama saya tahun ini ialah menulis sebuah buku berkaitan dengan profession dan ilmu yang saya ada.

Please follow and like us: