Tag Archives: Bonus

Ulasan Ringkas Bajet 2014

Peruntukan – RM264.2 billion

Perbelanjaan Mengurus – RM217.7 billion

Perbelanjaan Pembangunan – RM46.5 billion

Bajet 2014

Bajet 2014

 

Berikutan pembentangan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat pada 25 Oktober 2013, terdapat pelbagai reaksi dari orang ramai. Berikut merupakan ulasan yang pandangan peribadi daripada saya berkenaan beberapa isi kandungan bajet 2014.

 

BR1M

Isirumah berpendapatan RM3,000 ke bawah – RM650 + RM50 Takaful

Isirumah berpendapatan RM3,000 hingga RM4,000 – RM450 + RM50 Takaful

Bujang 21 tahun ke atas berpendapatan RM2,000 ke bawah – RM300

BR1M 3.0

BR1M 3.0

Pro – Mengurangkan bebanan rakyat akibat dari peningkatan harga barangan.

Ulasan – Peningkatan dalam jumlah pemberian BR1M sudah dijangka berikutan pengumuman manifesto Barisan Nasional ketika PRU13 yang lepas. Peningkatan harga jualan petrol dan diesel berikutan pengurangan subsidi oleh kerajaan juga menjadi penanda nilai BR1M akan dinaikkan.

Pemberian BR1M dikatakan sebagai pemberian subsidi bersasar untuk mengurangkan bebanan rakyat. Pada umumnya saya bersetuju dengan pemberian subsidi bersasar, berbanding pemberian subsidi secara umum.

Namun, saya merasakan terdapat isu dalam pemberian BR1M yang perlu diberikan perhatian.

1. Pemberian BR1M ini diberikan mengikut jumlah pendapatan tetapi keadaan ekonomi keluarga tidak dilihat secara menyeluruh.

Sebagai contoh:

Suami Isteri dengan seorang anak dengan pendapatan RM3,000 mendapat BR1M sebanyak RM650.

Suami Isteri dengan empat orang anak dengan pendapatan RM2,000 juga mendapat BR1M sebanyak RM650.

Suami Isteri dengan anak kurang upaya dengan pendapatan RM1,000 juga mendapat BR1M sebanyak RM650.

2. Kaedah pemberian BR1M juga perlu dikemaskini bagi memastikan semua pihak yang disasarkan mendapat faedah daripadanya.

3. Selain itu, saya juga mempunyai persoalan mengapakah pemberian bantuan subsidi bersasar ini tidak melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat yang telah mempunyai data keluarga yang memerlukan?

4. Pemberian BR1M ini juga tidak dapat menampung peningkatan harga barangan akibat dari pengurangan subsidi minyak dan gula.

5. Berikan ikan, dapat makan sehari; berikan pancing supaya dapat belajar cari makan. Berikan BR1M, tak tahulah berapa lama boleh bertahan. Usahakan supaya BR1M ditukar menjadi ‘pancing’ atau ‘jala’. Jangan lupa ajar juga cara guna. Tak guna juga jika ‘pancing/jala’ tadi dijual atau di’Alibaba’kan.

 

Bonus

Pejawat Awam –Setengah bulan gaji atau minimum RM500

Pesara – bantuan kewangan RM250

Bonus Bajet 2014

Kredit Gambar: rzcrew.blogspot.com

Pro – Meringkan beban penjawat awam dan juga sebagai imbuhan ke atas perkhidmatan mereka.

Ulasan – Terdengar beberapa pihak mempertikaikan pemberian bonus kepada penjawat awam. Kemungkinan besar mereka ini bukanlah penjawat awam. Tidak salah diberikan bonus kepada mereka. Pekerja mana-mana syarikat pun mahukan bonus. Setengah bulan bonus bukanlah jumlah yang besar.

Terfikir juga, bolehkah jika pemberian bonus ini diberikan mengikut pencapaian KPI dan prestasi? Mungkin mereka akan lebih bersemangat bekerja untuk mencapai KPI yang diberi dan kemudiannya mendapat bonus. Jika prestasi kerja baik mungkin juga kadar bonus yang lebih baik juga dapat diberi?

 

GST

Berkuatkuasa 1 April 2015 pada kadar 6%

Malaysia Goods & Service Tax

Malaysia Goods & Service Tax

Pro – Meningkatkan pendapatan Negara dalam usaha mengurangkan defisit perbelanjaan negara.

Ulasan – Peningkatan dalam harga barangan berkemungkinan besar akan berlaku. Semakin besar perbelanjaan sesebuah isi rumah, semakin tinggi cukai yang terpaksa ditanggung.

Jumlah perbelanjaan golongan berpendapatan tinggi juga tinggi, maka tinggilah juga jumlah cukai yang ditanggung. Namun jika dikira dari segi peratusan dari gaji, golongan berpendapatan rendah mengunakan % gaji yang lebih untuk berbelanja. Disini terdapat keperluan untuk golongan meningkatkan pengetahuan dalam pengurusan kewangan.

Pelaksanaan GST sebanyak 6% juga akan memansuhkan Government/Service Tax, 6% dan Service Charge, 10%. Secara kasar, terdapat pengurangan cukai sebanyak 10%. Namun perlu diketahui tidak semua barangan dikenakan Government Tax dan Service Tax sekarang dan tidak semua barangan dikenakan GST. Maka, kesan GST ke atas barangan berkemungkinan turun 6%, turun 4% dan juga terdapat berkemungkin naik 6%.

Penguatkuasaan dan pemantauan ke atas GST, setiap pembelian bahan mentah dan bahan separuh siap akan dikenakan GST sebanyak 6%, namun pihak terbabit cuma perlu membuat pembayaran GST setelah menolak GST yang telah dibayar kepada pihak pembekal. Pihak syarikat akan memerlukan tambahan pekerja dan juga system untuk memantau GST.

Penguatkuasaan dan pemantauan yang lebih juga perlu dilakukan ke atas semua syarikat yang terlibat. Adakah pihak kastam telah bersedia atau akan bersedia apabila tiba masanya?

Terdapat 17 bulan diperuntukkan untuk memahami GST . Ulasan dan penerangan lanjut perlu dilakukan oleh pihak terbabit.

 

Gula

Subsidi dikurangkan 34 sen untuk menggalakkan rakyat Malaysia menjaga kesihatan.

Bajet 2014: Gula

Kredit Gambar: http://www.blogammar.com/

Pro –  Mengurangkan perbelanjaan subsidi negara

Kontra – Meningkatkan perbelanjaan isirumah.

Ulasan – Peningkatan harga gula tidak menjamin pengurangan pengambilan gula. Individu yang telah biasa mengambil 2 sudu gula dalam minuman akan tetap mengunakan 2 sudu gula. Air yang dijual di kedai-kedai tetap akan mengunakan kadar gula yang sama. Mungkin harga sahaja yang meningkat tanpa pengurangan dalam pengambilannya.

Diabetis adalah akibat kandungan gula yang tinggi dalam badan. Ianya tidaklah hanya akibat pengambilan gula yang tinggi. Ia mungkin juga akibat dalam kegagalan badan untuk menukarkan gula kepada tenaga. Mungkin juga diabetis ini akibat dari faktor genetik. Selain itu, kanji dari nasi yang dimakan berlebihan akan bertukar menjadi glokusa yang juga boleh menjadi menyebab kepada disbetis.

Jika benar pengurangan subsidi gula bertujuan untuk mengurangkan penghidap diabetis, gunakan wang hasil pengurangan subsidi tadi untuk mempromosikan gaya hidup sihat. Tetapi tiada peruntukan ini dalam bajet 2014.

 

Cukai

  1. Pembayar cukai yang membuat potongan cukai bulanan tidak perlu  kemuka borang nyata cukai pendapatan berkuatkuasa 2014.
  2. Pelepasan cukai RM2,000 bagi pendapatan RM4,000 hingga RM8,000
  3. Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan dari 1% hingga 3% pada 2015.

Pro –

  1. Mengurangkan urusan pencukaian dalam pemprosesan borang nyata cukai.
  2. Pengurangan pendapatan dikenakan cukai.
  3. Pengurangan dalam jumlah cukai pendapatan perlu dibayar.

 

Ulasan – Timbul beberapa persoalan mengenai perkara ini seperti:

  1. Bagaimana pengembalian cukai dapat dilakukan jika borang nyata cukai tidak dihantar?
  2. Adakah pengurangan pendapatan ini mencukupi bagi mengimbangkan kembali GST yang akan memberi kesan kepada pengguna?

 

Rumah

  1. RM1 billion untuk PR1MA bina 80,000 unit rumah pada harga 20% lebih rendah.
  2. SPNB bina 15,122 unit rumah mampu milik, 3,000 unit rumah idaman rakyat dan 8,000 unit rumah mesra rakyat.
  3. Rumah Mesra Rakyat dengan harga jualan antara RM45,000 hingga RM65,000 sebuah dengan subsidi antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit.
PRIMA

PR1MA

Pro – Akan terdapat lebih banyak rumah mampu milik untuk rakyat.

Ulasan – Terdapat usaha untuk memudahkan rakyat mendapatkan kediaman. Walaupun jumlah tersebut kelihatan masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan.

Terdapat juga insentif-insentif yang ditawarkan kepada pemaju bagi menggalakkan pemaju membina rumah kos rendah dan sederhana. Namun usaha ini belum boleh menjamin penurunan harga rumah secara keseluruhan.

Kos sebenar dalam industri pembinaan seperti besi, simen, batu, pasir dan juga pekerja adalah tinggi sehingga menyukarkan untuk pemaju menurunkan harga rumah. Apabila ditambah pula dengan spekulasi pemain hartanah, harga yang tinggi masih akan menyukarkan pemilikan rumah.

Adalah lebih penting untuk mereka yang mahu membeli rumah menguruskan kewangan mereka dari menunggu penurunan harga dan mengharapkan rumah mampu milik yang tidak mencukupi.

 

Spekulator Hartanah

  1. Kenaikan Cukai Harta Tanah – RPGT.
    1. Individu – 30% penjualan dalam tempoh 3 tahun,  20% penjualan dalam tahun ke 4, 15% penjualan dalam tahun ke 5, 0% untuk penjualan pada tahun seterusnya.
    2. Syarikat –  30% penjualan dalam tempoh 3 tahun,  20% penjualan dalam tahun ke 4, 15% penjualan dalam tahun ke 5, 5% untuk penjualan pada tahun seterusnya.
    3. Warga Asing – 30% penjualan dalam tempoh 5 tahun dan 5% untuk penjualan pada tahun seterusnya
    4. Larangan DIBS ke atas pemaju.
    5. Harga minimum RM1juta ke atas pembelian warga asing.
    6. Mempamirkan perincian harga jualan termasuk manfaat dan insentif ditawarkan.

Pro – Mengurangkan spekulasi harga hartanah dalam jangka masa pendek. Terdapat kemungkinan harga hartanah akan menurun sedikit pada tahun ini tetapi akan kembali meningkat mulai tahun 2014.

Ulasan – Telah banyak Sifu-sifu hartanah memberi pandangan mengenai bajet ini. Ulasan dibawah sekadar pandangan yang lain.

Kenaikan RPGT, akan menyebabkan beberapa pemilik (flipper) melakukan penjualan dalam tahun ini untuk mengelakkan RPGT yang tinggi. Namun, ‘flipper’ yang bermodal besar tidak akan terjejas dengan RPGT yang tinggi. Mereka mungkin menaikkan harga untuk menampung kos RPGT ini atau menangguhkan penjualan sehingga keuntungan yang lebih baik diperolehi.

RPGT

Real Property Gains Tax (RPGT)

Halangan ke atas DIBS juga hanya akan menjejaskan pembeli hartanah pertama dan spekulator hartanah kecil. Spekulator hartanah yang besar telah mula membeli sebelum DIBS diperkenalkan lagi, DIBS sekadar memberi kelebihan kepada mereka. Tanpa DIBS pun mereka ini pastinya mempunyai aliran tunai yang tinggi untuk melakukan pembelian.

Harga minimum bagi warga asing akan menyukarkan pemaju yang telah membina hartanah bernilai RM500,000 sehingga RM1juta, jika sasaran utama mereka warga asing. Kawasan yang mungkin terjejas ialah Iskandar Malaysia yang terletak berhampiran Singapura.

Kawasan ini memerlukan pemerhatian lanjut kerana terdapat kemungkinan harga akan meningkat bagi melayakkan warga Singapura membeli hartanah. Juga terdapat kemungkinan harga akan menurun untuk membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki hartanah.

Kesimpulannya, langkah yang diperkenalkan ini cuma akan mengurangkan peningkatan harga dalam jangka masa pendek sahaja. Ia juga tidak akan mengganggu pemain hartanah professional. Pemain hartanah baru dan pertengahan mungkin akan terjejas dan mengurangkan pembelian.

 

Keselamatan Negara

ATM – RM13.2 billion

PDRM – RM8.8 billion

Pro – Meningkatkan keselamatan Negara terutamanya untuk mengelakkan peristiwa lahad datu awal tahun lalu berulang.

Meningkatkan keselamatan dalam Negara (PDRM) lebih-lebih lagi dengan situasi jenayah yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Bajet 2014

Kredit Gambar: http://www.astroawani.com/

Ulasan – Namun bajet ini tidak mengambil kira laporan audit negara yang lalu yang melaporkan kehilangan aset-aset PDRM. Disebalik kehilangan pistol ke dalam laut dan tandas, tiada tindakan ke atas mereka sebaliknya peruntukan yang tinggi masih diberi.

Bertindak dahulu ke atas laporan audit negara tersebut sebelum peruntukan baru dilepaskan kepada mereka. Ini penting supaya ketirisan dan kehilangan aset ini tidak berulang dan membazirkan peruntukan yang diberi.

 

Siswazah

Tabung Usahawan Siswazah sebanyak RM50 juta – Pinjaman mudah sehingga RM500,000 pada kadar faedah 4%

Pro – Mengalakkan siswazah menjadi usahawan dan mengurangkan penganggur berijazah.

Ulasan – Siswazah sekarang kebanyakan mereka telah mempunyai hutang PTPTN apabila tamat pengajian.  Sebelum mereka ini diberikan hutang sekali lagi, berikan mereka pengetahuan untuk menjadi usahawan. Aturkan agar mereka ini mendapat bimbingan oleh usahawan yang telah berjaya.

Menjadi usahawan tidaklah semudah memberikan modal semata-mata. Ramai usahawan bermodal besar gagal dalam perniagaan. Ada juga usahawan bermodal kecil yang berjaya. Berikan mereka ini ‘pancing/jala’ dan ajarkan mereka cara menggunakannya.

 

Usahawan Pasar Malam

Peruntukan sehingga RM100 juta. Pinjaman maksimum RM30,000 dengan kadar 4%.

Pro – Mengalakkan perkembangan usahawan pasar malam. Juga dapat mengelakkan usahawan pasar malam ini mendapatkan bantuan kewangan dari Along.

 

Bajet 2014

Bajet 2014

Kesimpulan Menyeluruh

Bajet 2014 ini adalah bajet untuk mengurangkan defisit kerajaan dengan memberikan penyelesaian-penyelesaian jangka pendek.

Menjadi asas pengurusan kewangan, sama ada individu, keluarga, perniagaan mahukan negara, membaiki kedudukan kewangan melalui dua cara. Pertama dengan meningkatkan pendapatan dan keduanya dengan mengurangkan perbelanjaan.

Dalam bajet ini, kerajaan bertindak meningkatkan pendapatan negara melalui pemotongan subsidi gula dan juga petrol/diesel yang telah dilakukan lebih awal. Kerajaan juga bertindak melaksanakan GST yang dapat meningkatkan pendapatan negara mulai 2015.

Dalam bajet 2014 ini, tiada polisi yang mengambarkan pengurangan perbelanjaan atau penjimatan. Tindakan susulan ke atas ketirisan yang dilaporkan dalam laporan audit Negara juga tidak disentuh.

Dalam proses menjadi negara maju, peruntukan untuk perbelanjaan membangun juga semakin berkurangan.

 

*Perkara di atas merupakan pandangan dan ulasan peribadi penulis. Tidak mengambarkan pandangan mana-mana parti politik. Pandangan setiap individu adalah berbeza, perbincangan boleh dilakukan atas dasar meraikan perbezaan.

Please follow and like us: