Tag Archives: ilmu

Demi Pena, Kini Aku Seorang Penulis

Pada 11 Ramadhan 1434 bersamaan 20 Julai 2013 berlangsungnya satu fenomena dalam dunia penulisan. Saya berbangga menjadi sebahagian dari fenomena ini. Fenomena bersejarah di dalam Wisma Sejarah, mengabungkan seramai 120 penulis dan bakal penulis di dalam Konvensyen Mini Penulisan 2013.

Konvensyen Mini Penulisan 2013

Konvensyen Penulisan

Konvensyen Mini Penulisan (KMP) yang hanya Mini pada nama tetapi Mega pada pengisian. KMP ini dianjurkan oleh Sekolah Penulisan Nuun bersama Akademi Hero dan Kursus Penulisan.com. Hasil kerjasama Cikpuan Azzah Abdul Rahman dan Tuan Zamri Mohamad bersama rakan-rakannya mendapat sambutan yang hebat.

Panelis yang meluangkan masa dalam memberikan ilmu juga bukan calang-calang. Pastinya peserta beroleh ilmu yang bernilai dalam masa beberapa jam bersama.

Panelis-panelis yang terlibat ialah

  1. Tuan Rohidzir Rais, Pendakwah dan Penulis;
  2. Tuan Abdul Latip Talib, Novelis Sejarah No. 1 Malaysia;
  3. Tuan Wahyudi Mohd Yatim, Usahawan Buku;
  4. Puan Sri Diah Shaharuddin, Grup Buku Karangkraf;
  5. Puan Norhayati Razali, Kota Buku;
  6. Tuan Nazry Salam, Pekomik;
  7. Cikpuan Azzah AR, Akademi HERO;
  8. Tuan Zamri Mohamad, KursusPenulisan.com;
  9. Tuan Aqif Azizan, Write To Wealth; dan
  10. Ustaz Fathuri Salehuddin, Pendakwah dan Penulis;

Kemudian disertakan pula oleh Forum untuk menyerang dunia penulisan dikendalikan oleh moderator Puan Muna ‘Izzah Fadzil dengan panel disertai oleh Tuan Izwan Wahab ‘Robotys’, Tuan Zamri Mohamad dan Cikpuan Azzah Abdul Rahman.

Antara aktiviti yang menarik di dalam KMP ialah ‘Penulis Mencari Penulis’ dan juga ‘Match Making’ di antara penulis dan penerbit.

Yang pastinya, para peserta sangat bersemangat, namun jawatankuasa lebih bersemangat menjalankan tugas. Terima kasih kepada pihak penganjur, panelis-panelis, rakan penulis (termasuk bakal penulis) dan juga ahli jawatankuasa.

Semoga kita bertemu bersama buku-buku anda semua pada Konvensyen ‘Bukan Lagi Mini’ Penulisan 2014.

Please follow and like us:

Belajar Dari ‘Temple Run 2’

              Baru-baru ini saya mula bermain ‘Temple Run 2’, sekadar menghabiskan masa ketika menunggu bas atau orang. Apabila semakin lama bermain, saya melihat adanya pengajaran daripada permainan ini.

10 Pengajaran Dari ‘Temple Run 2’

Temple Run 2

Dikejar Makhluk

Satu: Dikejar makhluk

Permainan ini bermula dengan watak pemain keluar dari gua dan di kejar oleh sejenis makhluk.                                                                                

Pengajaran: Dalam mengejar kejayaan, kita tidak boleh berada di dalam zon selesa. Tekanan yang belakang akan menolak kita untuk bergerak ke hadapan.

Berlari Tanpa Henti

Temple Run 2 – Berlari Tanpa Henti

Dua: Berlari dari awal sampai..

Asas permainan ini adalah berlari. Kawal watak kita supaya dapat terus berlari.                                                                                                                 

Pengajaran: Untuk mencapai matlamat, walau apa yang dihadapi, perjalanan harus diteruskan. Kehidupan tidak akan berhenti, walau apapun yang terjadi.

 

Tiga: Halangan dalam usaha untuk terus berlari

Semasa berlari, watak pemain akan menghadapi pelbagai rintangan. Di antara rintangan yang ada ialah laluan berlubang, dahan pokok merentangi jalan, api dan sungai.

Pengajaran: Hidup ini penuh dengan rintangan. Kita yang sentiasa bersedia akan lebih berupaya untuk menghadapi apa juga halangan yang menanti.

 

Empat: Sambil berlari, syiling di sambar sekali

Dalam permainan ini, sumber yang diperlukan ialah syiling. Watak periu mengumpul syiling di sepanjang larian. Syiling ini tidak selalu ada di sepanjang perjalanan. Kadang kala syiling ini di tengah laluan, kadang kala syiling ini berada di kanan atau kiri laluan.                                                                                                  

Pengajaran: Kehidupan ini merupakan proses mencari. Apa yang kita cari tidak sentiasa ada. Rezeki itu juga bukanlah hanya yang berada di depan mata sahaja. Kadang ia ada di sekeliling kita.

 

Lima: Laluan tidak selalunya lurus

Kadang ada tali untuk bergantung, kadang ada 2 simpang, kadang hanya ada satu simpang.                                                                                 

Pengajaran: Dalam meneruskan perjalanan hidup, terdapat pelbagai bentuk pilihan. Kadanga kala pula kita tiada sebarang pilihan. Pilihan yang dibuat dengan teliti dan bijak pastinya membantu perjalanan kita.

 

Enam: Terdapat matlamat lain selain dari terus berlari

Selain terus dikejar oleh makhluk, pemain juga perlu menyelesaikan objektif-objektif lain. Di antara objektif yang perlu diselesaikan ialah mengumpul 100 syiling, berlari 1,000 meter, berlari 500 meter tanpa mengumpul syiling dan mengumpul 20 item bonus.                                                                                                       

Pengajaran: Dalam kehidupan, kita akan sentiasa berusaha mencapai objektif dan matlamat. Setelah kita Berjaya menyelesaikan satu objektif, kita akan mengantikan objektif tersebut dengan objektif baru yang lebih mencabar.

Di dalam satu-satu tempoh masa, kita tidak memerlukan terlalu banyak objektif. Objektif yang terlalu banyak akan menyebabkan kita hilang focus. Mungkin menetapkan 3 objektif jangka pendek atau sederhana mencukupi untuk kita.

Temple Run 2

Objektif

Tujuh: Bantuan item bonus – Disepanjang perjalanan, terdapat item-item bonus yang dapat membantu watak, dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Item-item bonus ini seperti magnet yang membantu mengumpul syiling, perisai yang membantu watak mengurangkan gangguan dalam perjalanan, dan juga ‘boost’ yang membolehkan watak berlari laju tanpa halangan.  

Pengajaran: Dalam meneruskan kehidupan, terdapat peluang-peluang untuk mencapai matlamat kita dengan lebih pantas. Terpulang kepada setiap individu adakah dapat mengenalpasti peluang tersebut dan lantas menggunakannya.

 

Lapan: Keupayaan terbatas

Setiap pemain boleh meningkatkan keupayaan watak supaya berupaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Keupayaan ini boleh ditingkatkan dengan mengunakan syiling yang telah dikumpul. Semakin tinggi keupayaan, nilai syiling yang diperlukan juga meningkat.                                                                                          

Pengajaran: Dalam proses kita berusaha dalam kehidupan, kita perlu meningkatkan keupayaan diri. Ini supaya kita lebih berupaya untuk menempuhi perjalanan yang lebih mencabar. Pelaburan terbaik adalah ke atas ilmu yang akan meningkatkan keupayaan diri.

 

Sembilan: Cabaran

Selain daripada objektif, juga terdapat cabaran harian dan mingguan dalam permainan ini. Pemain yang menyelesaikan cabaran ini akan memperolehi ganjaran tertentu. 

Pengajaran: Di dalam perjalanan kehidupan, kita perlu menetapkan matlamat jangka pendek dan juga matlamat jangka panjang. Ini membantu kita dalam menilai sejauh mana pencapaian kita sekarang.

 

Temple Run 2 - Cabaran

Cabaran Temple Run 2

Sepuluh: Bertukar watak

Di dalam permainan ini, pemain boleh menukarkan watak mereka dengan watak yang lain. Watak yang baru perlulah ditebus dengan nilaian syiling tertentu. Watak-watak ini juga akan membawa kelebihan baru dari segi keupayaan mereka.

Pengajaran: Dalam kehidupan ini, keupayaan setiap individu adalah berbeza. Kita pasti memerlukan keupayaan individu lain. Walau watak setiap individu berbeza, keupayaan individu itu masih boleh digunakan oleh individu lain jika diperlukan. Keupayaan ini perlulah dibayar dengan nilai tertentu, yang tidak semestinya dengan wang ringgit.

Please follow and like us:

Tangki Simpanan

Perkara yang sering ditekankan dalam proses pengurusan kewangan ialah simpanan. Sering kita mendengar saranan untuk menyimpan. Tapi mengapa pula penulis kewangan terkemuka, Robert Kiyosaki menyatakan ‘Saver are Loser’?

Tangki Simpanan

Robert Kiyosaki

Biar pun melakukan simpanan secara konsisten, namun seseorang individu tidak mungkin menjadi kaya. Malahan terdapat juga kemungkinan, individu tersebut boleh menjadi miskin.

Wang yang disimpan menjadi statik di dalam bank dengan kadar interest yang minimum. Kadar interest ini yang tidak selari dengan kenaikan kadar inflasi, menyebabkan kuasa guna wang akan menurun.

Jadi Apa Kita Perlu Lakukan?

Kunci sebenar untuk menjana kekayaan adalah dengan menternak wang.  Biar wang yang di simpan membiak dengan tiada atau sedikit pengawasan. Caranya adalah dengan membuat pelaburan.

Terdapat pelbagai bentuk pelaburan yang boleh membiakkan wang seperti ‘unit trust’, amanah saham, emas dan perak, pasaran saham dan hartanah. Namun sering menjadi persoalan mengenai jenis pelaburan yang patut dilakukan.

Tangki Simpanan

Konsep ‘Tangki Simpanan’ ini adalah bertujuan untuk mengetahui bentuk pelaburan yang bersesuaian dengan jumlah simpanan kita.

Terlebih dahulu, tangki ini memerlukan tapak yang kukuh. Tapak yang kukuh ini adalah ilmu berkaitan kewangan dan pelaburan berkaitan. Tangki simpanan tanpa tapak ilmu yang kukuh memungkinkan tangki tersebut runtuh.

Simpan

Simpanan

Empat Aras Air Tangki

Kita perlu menetapkan tangki yang kita bina kepada empat bahagian.

Aras Pertama merupakan aras simpanan kecemasan. Semakin meningkat umur kita, maka keperluan simpanan kecemasan kita juga turut meningkat. Aras pertama kita ini akan kita penuhkan terlebih dahulu sebelum meneruskan aliran air ke aras kedua.

Aras Kedua merupakan pelaburan berisiko rendah. Keutamaan di awal pelaburan adalah pelaburan yang berisiko rendah ini. Rationalnya adalah supaya kita mendapat membina keyakinan dalam pelaburan. Ini juga dapat mengurangkan risiko kehilangan wang, lantas membentuk trauma pelaburan.

Contoh pelaburan berisiko rendah seperti caruman KWSP, simpanan tetap, simpanan tabung haji, saham bank rakyat dan ‘unit trust’ berkait pelaburan.

Aras Ketiga merupakan pelaburan berisiko sederhana. Setelah berjaya meningkatkan wang dalam aras kedua, wang akan terus mengalir ke aras ketiga. Contoh pelaburan berisiko sederhana seperti hartanah, ‘unit trust’, pasaran saham berdividen dan berniaga dalam kepakaran anda.

Aras Keempat merupakan pelaburan berisiko tinggi. Aras yang paling sukar dan memerlukan pengetahuan yang tinggi. Contoh pelaburan berisiko tinggi seperti komoditi, pasaran saham, pelaburan dalam perniagaan, ‘joint-venture’, judi dan memberi pinjaman peribadi.

Teori Tekanan Air Tangki

Tekanan air di dalam tangki akan mempengaruhi corak pengeluaran air. Wang simpanan yang ingin dikeluarkan untuk pelaburan boleh digambarkan mengikut konsep ini.

Semakin tinggi aras air itu akan menyebabkan tekanan air yang berbeza. Berdasarkan gambar, dengan andaian terdapat lubang keluar air pada setiap aras, semakin tinggi aras air semakin pendek jarak keluarnya.

Ini mengambarkan kadar pengeluaran wang untuk setiap aras pelaburan. Bagi aras pertama, tiada pengeluaran wang untuk pelaburan akan dilakukan. Manakala, semakin tinggi aras pelaburan, pengeluaran wang semakin kecil.

Tangki Simpanan Wang

Tangki Air

Membina Tangki

Pengurusan kewangan masih menjadi asas paling penting dalam mencapai matlamat kewangan.  Hasil dari pengurusan kewangan inilah yang akan kita bentuk menjadi tangki kewangan.

Please follow and like us:

3 Persoalan Asas Sebelum Membeli Rumah

Hujung minggu yang lalu, saya dan isteri telah berpeluang meninjau satu perumahan baru di Semenyih. Memang ada impian untuk menambah pelaburan dalam rumah tetapi mungkin belum sampai masanya lagi. Tetapi, ini mengingatkan saya kepada persoalan daripada beberapa rakan mengenai pembelian rumah pertama mereka tidak lama dahulu.

Rumah

Gambar dari http://udangmerah.blogspot.com

Ini berdasarkan pengalaman saya yang terlebih dahulu membeli rumah pada ketika itu. Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli rumah. Pelbagai persoalan akan timbul sebelum membeli, semasa membeli dan selepas membeli.

Saya suka untuk menyentuh 3 persoalan utama sebelum membeli rumah.

Kenapa?

Persoalan pertama ialah kenapa kita nak membeli rumah? Ini merupakan persoalan yang paling penting. Jawapan ini akan memberikan kita motivasi yang betul dalam mengharungi proses pembelian rumah.

Pelaburan

Gambar dari http://jacklimproperty.com/

Kita membeli rumah mungkin untuk kediaman kita sendiri atau untuk pelaburan. Pelaburan mungkin jangka pendek iaitu hasil sewa atau jangka panjang iaitu kenaikan harga hartanah. Ini akan membawa kita ke proses membuat keputusan yang berbeza dalam menjawab persoalan seterusnya.

Apa?

Apa jenis rumah yang kita mahu beli? Ini persoalan yang perlu dijawap seterusnya. Dalam pasaran sekarang, terdapat beberapa pilihan dari rumah bertanah (Landed Properties) atau tanpa tanah (Non Landed Properties). Jenis-jenis rumah bertanah adalah seperti banglo, semi-D, teres 2 tingkat atau teres setingkat. Jenis rumah tanpa tanah ialah kondominium, apartment atau pun rumah pangsa.

Ini bergantung kepada gaya hidup dan kesukaan masing-masing. Sebagai contoh jika kita suka berkebun, taman kecil, kolam ikan atau sekadar kawasan untuk anak-anak bermain sudah tentu kita memilih kawasan bertanah. Mungkin juga kita akan memilih rumah tepi dengan tanah yang lebih besar.

 

Tetapi jika gaya hidup kita tidak banyak masa di rumah, mungkin apartment lebih sesuai untuk anda kerana kurang masa diperlukan untuk mengemas dan menghias rumah. Sudah tentu ia juga kembali kepada persoalan pertama, rumah untuk diri sendiri atau untuk pelaburan.

Di mana?

Dimanakah kedudukan rumah yang kita mahukan? Kita perlu memastikan kedudukan rumah yang mahu dibeli itu adakah mudah untuk ke tempat kerja. Jika rumah itu untuk disewakan, kita juga mungkin mahu menilai kepadatan tenaga pekerja di kawasan itu.

Selain itu, kita juga perlulah melihat bentuk kemudahan-kemudahan yang ada di kawasan tersebut. Antara kemudahan yang perlu di ambil berat ialah sekolah, kedai, bank, taman permainan, stesen minyak dan juga kemudahan jalan raya atau lebuh raya.

Rumah atau Kediaman?

Home

Home

Itu adalah di antara persoalan yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli sesebuah rumah. Pembelian rumah adalah satu keputusan yang besar dan komitmen yang tinggi, jadi semua aspek perlulah dinilai dengan teliti. Ini supaya ia boleh menjadi ‘Rumahku Syurgaku’.

Please follow and like us:

Kalau mahu menguruskan kewangan, perlu ada…?

Terdapat ramai orang yang mahu mencapai status bebas kewangan. Tidak kurang juga yang mahukan kekayaan. Masih ramai yang sekadar mahu bebas dari hutang. Tapi kebanyakannya lupa mengenai perkara paling asas yang perlu diketahui untuk mencapainya.

Kewangan

Kewangan

Perkara pertama yang perlu diketahui dan dikenali dengan lebih mendalam ialah WANG. Tanpa ada WANG, tiadalah kewangan, maka tiada apa yang perlu diuruskan. Jadi dalam pengurusan wang, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah bagaimana memperolehi wang.

3 Penjanaan Wang

Setiap individu boleh memperoleh pendapatan daripada 3 kaedah asas iaitu:

Pendapatan

Pendapatan

  1. Aktif – Pendapatan aktif merupakan pendapatan yang diperoleh hasil daripada kerja anda yang utama. Biasanya berkaita dengan penggunaan masa dan tenaga/usaha yang tinggi. Contoh sumber pendapatan aktif ialah pekerjaan dan perniagaan.
  2. Sampingan – Pendapatan sampingan merupakan pendapatan yang diperolehi hasil daripada kerja separuh masa. Pendapatan ini diperolehi dengan bekerja di luar daripada kerja utama. Kebiasaannya kerja sampingan ini kurang menggunakan masa jika dibandingkan dengan pendapatan aktif. Contoh sumber pendapatan di Malaysia paling banyak ialah perniagaan MLM dan perniagaan ‘online’. Selain itu ada juga yang berkerja di rangkaian restoran makanan segera, kedai-kedai atau mungkin juga berniaga burger di waktu malam.
  3. Pasif – Pendapatan pasif merupakan pendapatan berterusan yang diperolehi hasil daripada sedikit usaha. Ini adalah sumber pendapatan di mana wang bekerja untuk anda. Di sinilah fokus utama bagi mereka yang mahukan kebebasan kewangan iaitu pelaburan. Contoh pendapatan pasif ini ialah hasil sewa dan jualan hartanah dari pelaburan hartanah, hasil pelaburan emas dan perak, pelaburan unit ‘trust’ dan juga pelaburan unit saham.

Kedudukan Anda?

Untuk memulakan proses penjanaan wang, kita perlulah audit diri dan mengenalpasti kedudukan semasa kita. Berdasarkan kepada empat kuadran yang dipopularkan oleh Robert Kiyosaki, kita mungkin berada dalam kuadran berikut:

  1. Pekerja
  2. Berkerja sendiri
  3. Pemilik perniagaan
  4. Pelabur.
Cash Flow Quadrant

Cash Flow Quadrant; Robert Kiyosaki

Setelah mengetahui kedudukan kita, barulah kita boleh merangka langkah seterusnya untuk menambah pendapatan kita.

Pendapatan Tinggi, Kaya?

Setelah mengetahui jenis, kedudukan dan jumlah pendapatan barulah kita boleh menguruskan kewangan kita. Walaupun pendapatan kita tinggi, tidak semestinya kita telah kaya. Seperti pepatah melayu, ‘besar periuk, besarlah keraknya’.

Tapi hakikatnya, untuk mencapai status bebas kewangan, bukanlah berapa banyak pendapatan anda, tapi berapa banyak yang anda simpan.

Please follow and like us:

Yeah, dah habis belajar!

Buku-buku

Sekadar Hiasan: Buku-buku

Setelah masuk tahun baru, ramai yang memulakan persekolahan masing-masing. Maka bermula juga pembelajaran untuk tahun yang baru. Bagi mereka yang mendapat keputusan yang baik semasa PMR, pastinya sedang merangka perpindahan ke asrama penuh. Ini juga bagi mendapatkan ilmu dengan lebih baik.

Seiring dengan meningkatnya umur, maka ilmu juga perlu meningkat. Tetapi ramai manusia yang berhenti belajar setelah tamatnya pendidikan formal.

Pencarian ilmu tidak perlu terhenti, selagi kita masih bernafas. “Carilah ilmu sehingga ke negeri China” dan “Belajarlah dari buaian sehingga ke liang lahad” adalah di antara pepatah yang sering digunakan untuk memberi gambaran tentang ilmu. Ini memberi gambaran, yang menuntut ilmu itu tidak terbatas oleh mana-mana sempadan geografi mahupun sempadan umur.

Para Pencari Ilmu

Sekadar Hiasan: Graduan

Sekadar Hiasan: Graduan

Terdapat ramai individu-individu berjiwa besar, yang masih menuntut ilmu, walaupun mereka telah diakui berjaya oleh masyarakat Malaysia. Datuk Dr. Fadzilah Kamsah adalah antara individu yang masih aktif belajar walaupun telah diakui berjaya dalam bidang motivasi di Malaysia.

Seminar-seminar yang dianjurkan Dr. Azizan Osman sentiasa penuh dengan peserta, namun ia bukanlah lesen untuk Dr. Azizan berhenti dari terus belajar. Pada tahun 2012, beliau telah pun menimba ilmu “Guerilla Marketing” dan mendapatkan hak untuk mengajarkannya pula kepada orang ramai.

Mentor NSNLP saya, Andrew Tham juga tidak pernah belajar, walaupun beliau telah mempunyai pusat latihan beliau. Beliau telah mendapatkan ilmu bahasa tubuh dari Janine Driver pada tahun 2012.

Ilmu menjaga Pemilik Ilmu

Sifat harta perlu dijaga oleh tuannya manakala ilmu akan menjaga tuannya. Bagaimana pula ilmu hendak menjaga tuannya jika umur tuannya lebih banyak dari ilmu yang ada? Sudah tentu sukar.

Seorang mekanik pastinya mempunyai ilmu membaiki kereta. Seorang doktor sudah pasti mempunyai ilmu kesihatan. Dengan ilmu inilah mereka ini mencari rezeki untuk menyara dan menjaga diri mereka. Jika mereka ini berhenti dari menuntut ilmu, bagaimana mekanik tadi mahu membaiki kereta dengan model enjin yang baru? Bagaimana pula doktor tadi mahu mengubati penyakit-penyakit yang baru? Lihatlah betapa pentingnya peningkatan ilmu.

Ilmu semakin bertambah

Semakin kerap sesuatu ilmu digunakan, semakin mahir si pemilik ilmu itu. Sehinggalah pemilik ilmu ini menjadi seorang pakar dalam bidang ilmunya. Perkongsian ilmu juga akan menjadikan ilmu itu semakin kuat di ingatan.

Ilmu juga dapat meningkatkan pendapatan pemiliknya. Dengan menambahkan ilmu dalam bidang perubatan tertentu, doktor akan menjadi seorang pakar bidang tersebut. Bayaran untuk pakar perubatan jelasnya berbeza dengan seorang doktor biasa.

Ilmu yang bermanfaat

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila seseorang itu meninggal dunia maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak yang soleh mendoakan untuknya.”

Semua ilmu itu bermanafaat, tetapi adakah ia diajarkan dan dimanfaatkan oleh orang lain.  Setiap ilmu itu ada yang memerlukannya. Setiap ilmu juga pasti ada kepentingannya. Jika baik niat si penggunanya, maka baiklah hasilnya. Tetapi jika buruk niat si penggunanya, maka buruklah hasilnya.

Tidak perlu meragukan kelebihan dan kegunaan ilmu yang telah kita perolehi. Sebarkan ilmu yang kita ada, pasti ada insan yang memerlukannya. Seperti maksud sebuah ayat berbahasa ingeris, “Bila pelajar telah bersedia, guru akan muncul”. Jika dihayati, ayat ini juga bermaksud, apabila anda mahu berkonsi ilmu, ada pelajar yang mencari ilmu.

Pentingnya ilmu

Ini hanyalah sebahagian daripada kelebihan ilmu. Dengan begitu banyak kelebihan menuntut ilmu, tiada sebab untuk kita mengelak dari menuntut ilmu. Marilah kita bersama-sama menuntut ilmu dan berusaha menyebarkannya.

Please follow and like us: