Tag Archives: Khas

Khas: Rahsia dan Prinsip Perniagaan Orang Cina

5 Rahsia Perniagaan Orang Cina

#1 Kerja hanya untuk cari pengalaman. Berniaga setelah cukup pengalaman.

Orang cina bekerja untuk menimba pengalaman sebelum membuka perniagaan mereka sendiri. Pengalaman ini perlu untuk memastikan mereka memahami selok belok perniagaan. Ahli perniagaan cina juga akan membawa anak mereka bersama ke kedai dari kecil. Ini bertujuan untuk melatih dan menanam minat anak tadi untuk berniaga.

#2 Biar untung sikit dari tak untung langsung. Biar pelanggan puas hati dan datang lagi.

Kepuasan pelanggan merupakan keutamaan mereka. Mereka sanggup untung sedikit daripada menghampakan pelanggan. Jika barang yang pelanggan cari tiada atau kehabisan di kedai mereka, mereka sanggup tolong cari di kedai pesaing mereka.

#3 Pantang orang cina yang berniaga berjudi dan ada perempuan simpanan.

Ahli perniagaan akan fokus dalam perniagaan mereka. Mereka tidak akan membazirkan wang ke atas perkara yang tidak membantu mengembangkan perniagaan mereka.

#4 Modal orang cina 1 mangkuk mesti dapat balik 5 mangkuk; 1 mangkuk untuk keluarga, 1 mangkuk simpanan, 3 mangkuk untuk modal balik.

Dengan modal yang sedikit mereka akan usahakan untuk mendapatkan lebih banyak modal. Hanya sebahagian daripada keuntungan untuk kegunaan mereka. Selebihnya adalah untuk membesarkan lagi perniagaan mereka.

#5 Dalam mendapatkan pinjaman untuk modal, mereka lebih pentingkan berapa faedah yang ditanggung dari berapa ansuran yang perlu mereka bayar.

Dalam perniagaan, kurangkan berhutang. Jika masih perlu berhutang, pastikan jumlah faedah yang perlu kita bayar adalah minimum. Walaupun jumlah ansuran kecil tetapi faedah tinggi, ini akan menyebabkan jangka masa yang panjang untuk menyelesaikannya.

 

6 Prinsip-prinsip orang cina mengenai perniagaan.

#1 Mahu lebih Berjaya? Kerja dengan lebih kuat dan rajin.

Kita suka melihat orang berjaya dan mahu jadi seperti mereka. Untuk jadi seperti mereka, maka kita perlu memahami cara kerja mereka. Tetapi untuk jadi lebih berjaya dari mereka, cara yang ada hanyalah dengan bekerja dengan lebih kuat dan lebih rajin dari mereka.

#2 Berpandangan positif pada perniagaan.

Ramai yang berpendapat bahawa untuk berniaga perlukan bakat dan nasib. Perlulah datang dari keluarga yang berniaga. Saya juga beranggapan begitu dulu. Tetapi sebenarnya, perniagaan itu boleh dipelajari dan semua orang boleh Berjaya. Positif pada perniagaan itu sendiri sangat penting sebelum kita menjadi perniaga.

#3 Keuntungan untuk tambah untung.

Apabila memperolehi keuntungan, ia bukan untuk dibelanjakan. Tetapi untuk membesarkan lagi perniagaan. Pembelian kereta mewah bukanlah cara yang baik dalam menggunakan wang keuntungan.

#4 Yakin dan sentiasa konsisten untuk membangunkan perniagaan dan saling membantu antara satu sama lain.

Untuk membangunkan perniagaan, kita perlulah mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Kita juga perlu lebih konsisten dalam segala usaha yang kita lakukan. Kita juga perlu saling bantu membantu dalam perniaagaan. Rezeki semua orang telah ditetapkan, tak perlulah dengki dengan rezeki orang lain. Jika rezeki kita lebih pula tidak bermaksud kita lebih baik dari peniaga lain.

#5 Apabila orang cina hendak berniaga, mereka lakukan. Mereka belajar melalui pengalaman dan adaptasi bila perlu.

Keinginan untuk berniaga sahaja tidak cukup. Merancang sahaja tidak mencukupi. Tindakanlah yang paling penting. Pasti akan ada halangan dan cabaran, ketika itulah kita boleh belajar dan melakukan adaptasi dalam proses tindakan kita.

#6 Kerja keras sekurang-kurangnya 18 jam sehari.

Untuk berniaga bukan kerja mudah. Kita perlulah mempunyai ketahanan mental dan fizikal. Ahli perniagaan perlulah sanggup untuk bekerja keras dan lebih masa.

Please follow and like us:

Khas: Rasulullah Dan Perniagaan

Selamat menyambut Maulidur Rasul. Dimana kita menyambut kelahiran junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W. Apabila tiba Maulidur Rasul, pasti kita akan diingatkan dengan etika dan cara Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi sunnah. Di sini saya cuma ingin menyentuh satu bahagian dalam kehidupan Rasulullah iaitu perniagaan.

Perniagaan dan Islam

Ramai telah mengetahui mencari rezeki melalui perniagaan dipandang tinggi dalam Islam. Ini dikukuhkan lagi melalui hadis Nabi Muhammad S.A.W.:

“Berniagalah kamu kerana sembilan persepuluh punca rezeki adalah di dalam perniagaan”.

(Hadis riwayat Tirmizi) (Hadis ini mursal mengikut Al Iraaqi).

Nabi Muhammad S.A.W. sendiri merupakan seorang ahli perniagaan semasa mudanya. Seawal 12 tahun, beliau telah mula membantu bapa saudaranya, Abu Talib berniaga ke Syam. Beliau juga mendapat kepercayaan Saidatina Khadijah Binti Huwailid untuk menguruskan barang dagangannya.

Para sahabat Nabi Muhammad S.A.W. juga ramai merupakan ahli perniagaan. Sahabat beliau yang berjaya dalam perniagaan dan paling banyak menginfakkan harta untuk Islam ialah Abdul Rahman Bin A’uf.

Sifat Nabi dalam Perniagaan

  • Al-Amin / Orang yang dipercayai – Kerana peribadi beliau yang baik dan tidak pernah berbohong, beliau mudah mendapat kepercayaan. Apabila diusulkan nama beliau kepada Saidatina Khajidah untuk menguruskan perniagaannya, cadangan itu disambut serta merta.
  • Jujur dan Amanah – Beliau sangat amanah dalam menguruskan barang dagangan milik Saidatina Khadijah sehingga beliau dapat menghasilkan keuntungan. Sabda Nabi Muhammad S.A.W.:

“Peniaga yang benar lagi amanah bersama-sama para nabi, orang-orang yang benar (siddiqqin) serta para syuhada’.”

(Hadis riwayat Tirmidzi)

”Dua orang yang berjual beli, masing-masing mempunyai hak untuk memilih (untuk meneruskan jual beli atau tidak) selama kedua-duanya belum berpisah. Jika keduanya berlaku jujur dan berterus terang menjelaskan (keadaan barang yang dijual belikan), maka mereka diberi berkat dengan jual beli mereka; tetapi jika mereka berdusta dan menyembunyikan (kecacatan masing-masing), hilanglah berkat jual beli mereka.”

(Hadis riwayat Muslim) 

  • Menderma – Beliau suka menderma dan berbuat kebajikan sehingga membuatkan pelanggan senang berurusan dengan beliau.
  • Melebihkan timbangan – Beliau tidak pernah menipu timbangan dalam perniagaan, malahan beliau melebihkan timbangan.
  • Tidak mengamalkan riba – Beliau juga menolak riba kerana ia bersifat menindas.

Larangan Dalam Perniagaan

Terdapat beberapa hadis Nabi Muhammad S.A.W. berkaitan larangan di dalam perniagaan, antaranya:

“Sesungguhnya para peniaga akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan berdosa melainkan bagi orang yang bertaqwa kepada Allah, membuat kebajikan dan bercakap benar.”

(Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

“Sesungguhnya para peniaga itu adalah orang-orang yang berdosa, mereka bertanya: “Wahai Rasulullah, bukankah Allah telah menghalalkan jual beli?” Jawab Baginda: “Ya” (Tentu), akan tetapi apabila mereka bersumpah, mereka membuat dosa, dan apabila berkata-kata mereka berbohong.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim)

Berniaga Cara Rasulullah

Di samping mengingati Rasulullah S.A.W. ketika sambutan Maulidur Rasul, kita juga pasti mahu mengingati sepanjang waktu. Baik di dalam urusan ibadah, kehidupan bekeluarga mahupun peribadi beliau dalam menjadi pemimpin agung. Tidak terkecuali juga dalam usaha mencari rezeki terutama dalam perniagaan.

Please follow and like us: