Tag Archives: kongsi

Ini Aku Punya!!!

Seorang budak tersenyum lebar, sambil membawa permainan baru, hadiah hari lahirnya. Berjalan bangga, membawa robot model terbaru, menuju ke arah rakan-rakan sepermainan. Tibanya membuatkan rakan-rakannya terpegun dengan permainan baru itu. Seorang budak yang amat berminat menghampiri dan cuba menyentuh permainan itu.

“Ini aku punya! Kau tak boleh pegang.” Tegas si pemilik robot.

Pernahkah anda mengalami atau melihat peristiwa situasi seperti itu? Saya pernah mengalami dan juga melihat situasi seperti itu.

Saya masih ingat ketika kecil mengikuti emak ke rumah rakannya dan bermain bersama anak tuan rumah yang hampir sebaya dengan saya. Setelah beberapa bermain, anak itu menunjukkan seunit robot voltron yang boleh dilerai menjadi 5 unit harimau. Walaupun begitu permainan itu tidak mahu dikongsi bersama saya.

Voltron

Voltron

Dari kecil lagi sudah menjadi naluri kita untuk menghargai sesuatu yang baru. Juga menjadi kebiasaan, sesuatu yang kita anggap berharga dan sayang, tidak mahu dikongsikan bersama sesiapa pun.  Namun apabila bosan bermain keseorangan, pastinya budak pemilik robot menawarkan untuk bermain bersama.

Seorang atau Ramai?

Pastinya bermain beramai-ramai lebih menyeronokkan berbanding bermain seorang diri. Begitu juga apabila kita telah dewasa, ada ketika kita lebih seronok dengan kehadiran ramai keluarga atau rakan. Sebagai contoh, ketika perayaan, majlis tertentu dan juga masa-masa untuk beriadah dan berhibur.

Selain daripada teman untuk bergembira dan berhibur, kita sering hilang satu lagi pengajaran daripada kisah di atas. Semakin kita membesar, kita semakin kurang berkongsi dan memberi kepada orang lain. Itu yang saya sedari dan kini sedang cuba membaiki diri sendiri, sedikit demi sedikit.

Beri dan Terima

Tangan

Tangan

Tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima. Itu yang sering diperkatakan. Secara psikologinya, emosi kita akan lebih baik sewaktu kita memberi daripada waktu kita menerima. Terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Semua pemberian pasti akan mengembirakan kedua-kedua pihak. Maka, kegembiraan akan dikongsi bersama.

Tiada Duit

Duit mungkin menjadi isu besar kepada ramai di antara kita. Saya juga pernah merasa begitu. Kita tidak perlu memberi dengan nilai yang besar kerana bukan itu yang paling penting. Ya, ia masih penting tetapi yang lebih penting ialah niat dan ingatan kita untuk berkongsi apa yang kita miliki.

“Dan Allah sentiasa memberi pertolongan kepada hambanya selama ia menolong saudaranya.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Duit juga bukanlah satu-satunya yang boleh diberi dan dikongsikan. Banyak lagi benda atau perkara yang boleh dikongsikan dalam kehidupan seharian. Senyuman dan ucapan salam juga merupakan satu bentuk yang mudah untuk dikongsi dan diberi.

Senyuman

Senyuman

Beri, Dapat Lebih

“Give and You Will Get More”

Kita mungkin tidak menyedari mengenainya, tetapi apa yang kita berikan akan tersebar. Kita akan mendapat nilai yang lebih daripada apa yang kita berikan. Mungkin bukan dalam bentuk yang sama seperti yang kita berikan. Jika pemberian dalam bentuk kewangan pula, seringkali kita tidak menyedari bagaimana wang itu telah pun memberikan nilai kewangan dalam cara yang berbeza. Selalunya kegembiraan memberi itu sendiri sudah merupakan hasil yang sangat bernilai.

Please follow and like us: