Tag Archives: Tindakan

Demi Pena, Kini Aku Seorang Penulis

Pada 11 Ramadhan 1434 bersamaan 20 Julai 2013 berlangsungnya satu fenomena dalam dunia penulisan. Saya berbangga menjadi sebahagian dari fenomena ini. Fenomena bersejarah di dalam Wisma Sejarah, mengabungkan seramai 120 penulis dan bakal penulis di dalam Konvensyen Mini Penulisan 2013.

Konvensyen Mini Penulisan 2013

Konvensyen Penulisan

Konvensyen Mini Penulisan (KMP) yang hanya Mini pada nama tetapi Mega pada pengisian. KMP ini dianjurkan oleh Sekolah Penulisan Nuun bersama Akademi Hero dan Kursus Penulisan.com. Hasil kerjasama Cikpuan Azzah Abdul Rahman dan Tuan Zamri Mohamad bersama rakan-rakannya mendapat sambutan yang hebat.

Panelis yang meluangkan masa dalam memberikan ilmu juga bukan calang-calang. Pastinya peserta beroleh ilmu yang bernilai dalam masa beberapa jam bersama.

Panelis-panelis yang terlibat ialah

  1. Tuan Rohidzir Rais, Pendakwah dan Penulis;
  2. Tuan Abdul Latip Talib, Novelis Sejarah No. 1 Malaysia;
  3. Tuan Wahyudi Mohd Yatim, Usahawan Buku;
  4. Puan Sri Diah Shaharuddin, Grup Buku Karangkraf;
  5. Puan Norhayati Razali, Kota Buku;
  6. Tuan Nazry Salam, Pekomik;
  7. Cikpuan Azzah AR, Akademi HERO;
  8. Tuan Zamri Mohamad, KursusPenulisan.com;
  9. Tuan Aqif Azizan, Write To Wealth; dan
  10. Ustaz Fathuri Salehuddin, Pendakwah dan Penulis;

Kemudian disertakan pula oleh Forum untuk menyerang dunia penulisan dikendalikan oleh moderator Puan Muna ‘Izzah Fadzil dengan panel disertai oleh Tuan Izwan Wahab ‘Robotys’, Tuan Zamri Mohamad dan Cikpuan Azzah Abdul Rahman.

Antara aktiviti yang menarik di dalam KMP ialah ‘Penulis Mencari Penulis’ dan juga ‘Match Making’ di antara penulis dan penerbit.

Yang pastinya, para peserta sangat bersemangat, namun jawatankuasa lebih bersemangat menjalankan tugas. Terima kasih kepada pihak penganjur, panelis-panelis, rakan penulis (termasuk bakal penulis) dan juga ahli jawatankuasa.

Semoga kita bertemu bersama buku-buku anda semua pada Konvensyen ‘Bukan Lagi Mini’ Penulisan 2014.

Please follow and like us:

Belajar Dari ‘Temple Run 2’

              Baru-baru ini saya mula bermain ‘Temple Run 2’, sekadar menghabiskan masa ketika menunggu bas atau orang. Apabila semakin lama bermain, saya melihat adanya pengajaran daripada permainan ini.

10 Pengajaran Dari ‘Temple Run 2’

Temple Run 2

Dikejar Makhluk

Satu: Dikejar makhluk

Permainan ini bermula dengan watak pemain keluar dari gua dan di kejar oleh sejenis makhluk.                                                                                

Pengajaran: Dalam mengejar kejayaan, kita tidak boleh berada di dalam zon selesa. Tekanan yang belakang akan menolak kita untuk bergerak ke hadapan.

Berlari Tanpa Henti

Temple Run 2 – Berlari Tanpa Henti

Dua: Berlari dari awal sampai..

Asas permainan ini adalah berlari. Kawal watak kita supaya dapat terus berlari.                                                                                                                 

Pengajaran: Untuk mencapai matlamat, walau apa yang dihadapi, perjalanan harus diteruskan. Kehidupan tidak akan berhenti, walau apapun yang terjadi.

 

Tiga: Halangan dalam usaha untuk terus berlari

Semasa berlari, watak pemain akan menghadapi pelbagai rintangan. Di antara rintangan yang ada ialah laluan berlubang, dahan pokok merentangi jalan, api dan sungai.

Pengajaran: Hidup ini penuh dengan rintangan. Kita yang sentiasa bersedia akan lebih berupaya untuk menghadapi apa juga halangan yang menanti.

 

Empat: Sambil berlari, syiling di sambar sekali

Dalam permainan ini, sumber yang diperlukan ialah syiling. Watak periu mengumpul syiling di sepanjang larian. Syiling ini tidak selalu ada di sepanjang perjalanan. Kadang kala syiling ini di tengah laluan, kadang kala syiling ini berada di kanan atau kiri laluan.                                                                                                  

Pengajaran: Kehidupan ini merupakan proses mencari. Apa yang kita cari tidak sentiasa ada. Rezeki itu juga bukanlah hanya yang berada di depan mata sahaja. Kadang ia ada di sekeliling kita.

 

Lima: Laluan tidak selalunya lurus

Kadang ada tali untuk bergantung, kadang ada 2 simpang, kadang hanya ada satu simpang.                                                                                 

Pengajaran: Dalam meneruskan perjalanan hidup, terdapat pelbagai bentuk pilihan. Kadanga kala pula kita tiada sebarang pilihan. Pilihan yang dibuat dengan teliti dan bijak pastinya membantu perjalanan kita.

 

Enam: Terdapat matlamat lain selain dari terus berlari

Selain terus dikejar oleh makhluk, pemain juga perlu menyelesaikan objektif-objektif lain. Di antara objektif yang perlu diselesaikan ialah mengumpul 100 syiling, berlari 1,000 meter, berlari 500 meter tanpa mengumpul syiling dan mengumpul 20 item bonus.                                                                                                       

Pengajaran: Dalam kehidupan, kita akan sentiasa berusaha mencapai objektif dan matlamat. Setelah kita Berjaya menyelesaikan satu objektif, kita akan mengantikan objektif tersebut dengan objektif baru yang lebih mencabar.

Di dalam satu-satu tempoh masa, kita tidak memerlukan terlalu banyak objektif. Objektif yang terlalu banyak akan menyebabkan kita hilang focus. Mungkin menetapkan 3 objektif jangka pendek atau sederhana mencukupi untuk kita.

Temple Run 2

Objektif

Tujuh: Bantuan item bonus – Disepanjang perjalanan, terdapat item-item bonus yang dapat membantu watak, dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Item-item bonus ini seperti magnet yang membantu mengumpul syiling, perisai yang membantu watak mengurangkan gangguan dalam perjalanan, dan juga ‘boost’ yang membolehkan watak berlari laju tanpa halangan.  

Pengajaran: Dalam meneruskan kehidupan, terdapat peluang-peluang untuk mencapai matlamat kita dengan lebih pantas. Terpulang kepada setiap individu adakah dapat mengenalpasti peluang tersebut dan lantas menggunakannya.

 

Lapan: Keupayaan terbatas

Setiap pemain boleh meningkatkan keupayaan watak supaya berupaya mencapai objektif yang telah ditetapkan. Keupayaan ini boleh ditingkatkan dengan mengunakan syiling yang telah dikumpul. Semakin tinggi keupayaan, nilai syiling yang diperlukan juga meningkat.                                                                                          

Pengajaran: Dalam proses kita berusaha dalam kehidupan, kita perlu meningkatkan keupayaan diri. Ini supaya kita lebih berupaya untuk menempuhi perjalanan yang lebih mencabar. Pelaburan terbaik adalah ke atas ilmu yang akan meningkatkan keupayaan diri.

 

Sembilan: Cabaran

Selain daripada objektif, juga terdapat cabaran harian dan mingguan dalam permainan ini. Pemain yang menyelesaikan cabaran ini akan memperolehi ganjaran tertentu. 

Pengajaran: Di dalam perjalanan kehidupan, kita perlu menetapkan matlamat jangka pendek dan juga matlamat jangka panjang. Ini membantu kita dalam menilai sejauh mana pencapaian kita sekarang.

 

Temple Run 2 - Cabaran

Cabaran Temple Run 2

Sepuluh: Bertukar watak

Di dalam permainan ini, pemain boleh menukarkan watak mereka dengan watak yang lain. Watak yang baru perlulah ditebus dengan nilaian syiling tertentu. Watak-watak ini juga akan membawa kelebihan baru dari segi keupayaan mereka.

Pengajaran: Dalam kehidupan ini, keupayaan setiap individu adalah berbeza. Kita pasti memerlukan keupayaan individu lain. Walau watak setiap individu berbeza, keupayaan individu itu masih boleh digunakan oleh individu lain jika diperlukan. Keupayaan ini perlulah dibayar dengan nilai tertentu, yang tidak semestinya dengan wang ringgit.

Please follow and like us:

Nak beli ke tak? Erm… beli je lah. 5 Perkara Sebelum Membeli.

                      Saya pernah mengalami satu situasi ketika berjalan di pasaraya, niat cuma ingin berjalan-jalan. Cuma ingin ‘window shopping’. Tetapi apabila terlihat sesuatu yang menarik, terkena pula baru mendapat bayaran tertentu, terdetik untuk membeli barangan tersebut. Yang lebih teruk lagi, setelah beberapa ketika, barangan tersebut tidak lagi atau pernah digunakan. Anda juga pastinya pernah mengalaminya.

Ini merupakan 5 perkara yang boleh kita gunakan dalam situasi tersebut.

#1 Keperluan VS Kehendak

Kita perlu memikirkan barangan tersebut merupakan keperluan atau kehendak.

Barangan keperluan merupakan barangan yang kita perlu ada untuk meneruskan atau memudahkan sesuatu pekerjaan. Sebagai contoh peniaga internet memerlukan telefon pintar untuk sistem emel dan aplikasi facebook. Ini untuk memudahkan urusan jualbeli dan juga menguruskan sebarang pertanyaan dari pembeli dan bakal pembeli.

Barangan kehendak merupakan barangan pelengkap kepada kehidupan. Ia tidak diperlukan untuk meneruskan atau memudahkan sesuatu pekerjaan. Jika kita sudah memiliki barangan dengan sesuatu fungsi, barangan yang lebih baru dengan fungsi yang sama juga boleh dikategorikan sebagai kehendak.

Versus http://musechase.com/jayvsdiddy/

Versus http://musechase.com/jayvsdiddy/

Sebagai contoh, apabila keluar telefon pintar yang baru, ia merupakan barangan kehendak jika kita sudah ada telefon pintar lama yang masih berfungsi.

#2 Manfaat

Selain itu, kita juga perlu memikirkan mengenai manfaat yang boleh kita perolehi dari barangan tersebut. Boleh juga kita klasifikasikan sebagai barangan aset atau barangan liabiliti.

Barangan aset merupakan barangan yang boleh memberikan manfaat sama ada dalam bentuk kewangan atau memudahkan kita melakukan usaha memperolehi wang. Barangan liabiliti bermaksud ia tidak memberikan kita sebarang kelebihan dalam memperoleh kewangan atau memudahkan proses memperolehi wang.

#3 Ambil Masa

Jika berada dalam situasi di atas, tanpa perlu berfikir panjang, terus tinggalkan tempat tersebut. Apabila sudah pulang ke rumah dan kita masih memikirkan mengenai barangan tadi, mungkin barangan tersebut perlu kita miliki. Tambahan lagi, jika telah sebulan berlalu, kita masih mahukan barangan tersebut, maka terbukti barangan tersebut penting.

Masa www.tradersbonanza.com

Masa www.tradersbonanza.com

Untuk memiliki barangan yang perlu dan penting, sudah pasti kita akan merancang terlebih dahulu untuk memilikinya. Dengan itu tiadalah pembelian tergesa-gesa lagi merugikan.

#4 Kenyangkan Diri

Ini merupakan psikologi diri dan juga minda separuh sedar kita. Apabila mahu pergi membeli belah, makan dulu. Bila perut kita kenyang, minda kita akan kurang berminat untuk berfikir. Kita akan terus menuju ke barangan keperluan yang telah dirancang. Setelah kenyang, perut kita juga terasa lebih berat, mata juga mahu tertutup, sudah pasti mahu pulang segera.

#5 Semak Harga

Barangan yang ditawarkan mungkin tidak semurah yang disangkakan. Akibat desakan harga murah dan hari terakhir, mungkin kita akan terpedaya. Jika memang barangan tersebut diperlukan mungkin kita sudah pernah menyemak harga di tempat lain. Kita perlu membuat pembandingan harga di beberapa tempat sebelum membuat pembelian.

Selamat Berbelanja

Diharap kaedah di atas dapat membantu kita membuat pembelian dengan lebih bijak.

Please follow and like us:

Nasib Kau Baik, Bolehlah!!

Pernahkah anda mendengar kata-kata seperti tajuk di atas? Selalu kejayaan yang berjaya di capai itu dikaitkan dengan nasib. Lebih-lebih lagi jika kejayaan yang dicapai itu amatlah jarang ada insan yang dapat mencapainya.

Nasib Baik

‘Lucky Draw’, Nasib Baik?

Ini mengingatkan saya pada kejadian yang berlaku kepada saya beberapa tahun yang lalu. Saya telah berjumpa dengan rakan-rakan saya di sebuah kedai. Sambil minum-minum kami berbual mengenai seorang lagi rakan kami yang telah lama tidak ketemu. Salah seorang dari rakan saya menyatakan bahawa si polan itu nasibnya sangat baik, berjaya dalam satu perniagaan MLM kerana menjadi salah seorang yang terawal menyertainya.

Pada masa itu, saya memang bersetuju dengan pandangan beliau. Namun jika kejadian itu berlaku sekarang, pandangan saya tidak lagi sama. Ini adalah kerana saya tidak merasakan ada sesuatu kejayaan berdasarkan nasib semata-mata. Ayat Quran juga ada menyatakan mengenai nasib ini.

“Sesungguhnya Allah tidak akan  mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib mereka sendiri” Ayat 11:13, Surah Al-Ra’d

Tiada Nasib Baik

Mungkin ada sesuatu yang berlaku kerana ketentuan dan berdasarkan nasib. Namun jika berkaitan dengan kejayaan, kebiasaannya ialah berkat tindakan yang berterusan. Sebagai contoh, jika seseorang itu bernasib baik dan memenangi nombor ekor, namun jika dia tidak pandai untuk menguruskannya maka ‘nasib baik’ itu tidaklah kekal.

Tindakan

Tindakan

Namun jika kejayaan yang dicapai, tiada istilah nasib baik. Sebenarnya yang dikatakan nasib baik itu sebenarnya ialah hasil dari tindakan-tindakan kecil yang berterusan. Apabila seseorang itu berterusan berusaha dan sentiasa memperbaiki cara dan tindakan yang dirasakan kurang sesuai, maka ‘nasib baik’ pasti akan hadir.

‘Billionaire’ Malaysia

Sebagai contoh, Syed Mokhtar Al-Bukhari bukanlah seorang yang bernasib baik dalam mencapai kejayaannya sekarang ini. Banyak yang telah beliau usahakan seperti menjual lembu, menjual beras, perkhidmatan pengangkutan dan pembinaan. Beliau tidaklah terus bernasib baik dan berjaya dalam semua bidang tersebut. Malahan banyak cabaran dan dugaan yang telah beliau hadapi.

Biografi Syed Mokthtar Al-Bukhary

Biografi Syed Mokthtar Al-Bukhary

Beliau pernah terpaksa berhenti belajar walaupun berkebolehan. Perjalanan beliau yang panjang dalam usaha memasarkan beras keluaran syarikatnya jarang diperkatakan. Tidak ramai yang mengetahui syarikat pembinaan beliau hampir bankrap apabila berlaku kemerosotan ekonomi.

Apa yang tidak diketahui atau diperlihatkan kepada orang ramai itu lebih penting. Bagaimana beliau berjaya memperolehi kepercayaan pelanggan-pelanggan beliau. Bagaimana beliau terpaksa berusaha mendapatkan perhatian Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir untuk mendapatkan kepercayaan Tun.

Membina Nasib Baik

Banyak perkara yang berlaku sebelum ‘nasib baik’ boleh menjelma. Nasib adalah sesuatu yang sangat subjektif. Maka ramai orang tidak melihat usaha yang telah dilakukan untuk menghasilkan ‘nasib baik’. Ini menjadi sebab dan punca kurangnya usaha keran menunggu ‘nasib baik’ sedangkan tiada apa yang benar-benar merupakan ‘nasib baik’. Oleh itu, marilah kita sama-sama membina ‘nasib baik’ kita sendiri.

Please follow and like us: